Subscribe! Jawatan kosong terus ke email anda, daftar email anda dalam borang di bawah:

subscribe channel telegram >> https://t.me/nakjobs

Percuma

Ciri-ciri utama pekerja yang dicari oleh majikan

Pencapaian akademik yang cemerlang dan sijil-sijil kemahiran belum tentu dapat menjamin pekerjaan buat para pencari kerja terutamanya para graduan. Lambakan pesaing yang mempunyai pencapaian akademik dan kemahiran yang sama di dalam industri menjadikan persaingan mendapatkan pekerjaan semakin tinggi.

Untuk itu calon-calon temuduga perlulah mempunyai ciri-ciri unik yang tersendiri bagi menonjolkan diri anda berbanding pesaing-pesaing yang lain. Para majikan mencari bakal pekerja yang lebih menonjol daripada calon-calon yang memohon pekerjaan bagi memastikan jawatan yang ditawarkan diberikan pada calon yang paling tepat.

Selain kemahiran bertutur yang baik, menguasai pelbagai bahasa, aktif bersukan dan mempunyai kemahiran tertentu, majikan juga mahu menilai ciri-ciri dan personaliti bakal pekerja mereka sebelum mereka membuat keputusan mengambil pekerja.

Berikut adalah antara beberapa ciri-ciri unik yang dicari oleh para majikan untuk calon-calon pekerja mereka:

1. Calon yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan – Ciri-ciri kepimpinan yang dicari bukan hanya untuk calon di bahagian pengurusan syarikat sahaja. Ciri-ciri kepimpinan ini perlu ada dalam diri setiap pekerja. Pekerja yang mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi dilihat dapat membantu syarikat untuk lebih berdaya saing dan dapat menjadi contoh kepada rakan-rakan sekerja yang lain.

2. Bermotivasi tinggi dan mampu bekerja di bawah pengawasan yang minimum – Bakal majikan memang suka dengan pekerja yang mengikut arahan. Namun pekerja yang memiliki semangat motivasi yang tinggi dan mampu bekerja di bawah pengawasan yang minimum mampu memberi sumbangan yang lebih besar kepada syarikat. Pekerja-pekerja yang mempunyai ciri begini biasanya tidak kisah bekerja lebih masa dari yang sepatutnya asalkan mampu memyelesaikan tugas dan masalah yang ada.

3· Beradab dan pandai menghormati orang lain – Pekerja yang tidak beradab dan tidak pandai menghormati orang lain boleh menimbulkan persekitaran yang kurang selesa di tempat kerja. Malah sikap begini menyebabkan kesukaran pekerja lain bekerjasama dengan mereka.

4· Boleh bekerjasama dengan baik di dalam pasukan – Sudah menjadi lumrah di mana-mana organisasi perlunya kerjasama yang baik sesama pekerja. Tanpa kerjasama yang baik, pasti susah untuk sesebuah organisasi mencapai matlamat mereka. Usah risau kredit kerja diambil orang. Sikap bekerjasama bukan sahaja bakal menguntungkan syarikat, malah memudahkan urusan kerja anda nanti.

5· Bertanggungjawab – Sikap bertanggungjawab ini perlu ada dalam diri setiap pekerja. Para majikan tidak gemar akan sikap pekerja yang tidak mahu bertanggungjawab ke atas kesalahan yang dilakukan serta sering menyalahkan diri orang lain.

6· Berintegriti - Intergriti merupakan ciri yang paling penting bukan sahaja untuk kejayaan dalam kehidupan tapi juga di tempat kerja. Pekerja berintegriti dapat menyumbang kepada produktiviti kerja yang lebih cemerlang. Malah majikan tidak perlu risau tentang kejadian pecah amanah, kurang menepati masa dan kehilangan barang hak milik syarikat.

7· Bersikap mesra dan disenangi – Majikan mahukan pekerja yang mempunyai sikap yang ramah dan senang untuk bekerjasama. Tidak kira anda bekerja dalam bidang apapun, kemesraan dan keramahan anda akan membuatkan anda disenangi.

8· Kecerdasan yang tinggi - Kecerdasan yang dimaksudkan adalah keupayaan pekerja untuk menetapkan keutamaan, merancang, menyelesaikan tugas yang diberi dan menyelesaikan masalah. Cara biasa yang dilakukan oleh bakal majikan bagi menguji kecerdasan calon temuduga ialah melalui penelitian dalam cara dan soalan yang ditanya oleh calon temuduga.

Jadi, apa pendapat anda? Adakah anda mempunyai ciri-ciri yang dicari oleh majikan? Jangan risau jika ada di antara ciri-ciri tersebut masih belum dimiliki oleh anda. Sentiasa perbaiki diri dan siapkan diri menjadi pekerja yang lebih baik dan menepati ciri-ciri majikan yang dicari. Sedikit masa lagi pasti anda akan berjaya mendapatkan pekerjaan yang diidamkan.