Maklumat jawatan kosong terus ke notifikasi fon anda, subscribe channel Telegram dibawah:

Perkara Penting Dalam Surat Permohonan Kerja (Cover Letter)

Surat permohonan kerja (cover letter) adalah satu surat berformat rasmi bagi tujuan memohon kerja. Walaupun ketika ini ramai pemohon kerja yang tidak menggunakan cover letter sewaktu memohon kerja, cover letter ini masih sangat relevan.

Penggunaan cover letter yang dihantar bersama resume menunjukkan kesungguhan pemohon dalam permohonan kerja mereka. Secara tak langsung ianya akan membantu anda resume anda dipilih daripada ratusan pemohon yang lain.

Sebelum anda mula menulis cover letter anda, ada beberapa penting yang perlu anda ambil tahu terlebih dahulu:

  • Kenalpasti maklumat diri yang diperlukan – Hanya masukkan maklumat diri yang penting dan diperlukan sahaja. Tidak seperti resume, anda perlu menjelaskan sebab anda memohon kerja di syarikat tersebut di dalam cover letter.
  • Penulisan cover letter perlu mengikuti format yang tepat – Penulisan cover letter perlu mengikuti format surat rasmi. Untuk lebih jelas, anda boleh rujuk pada contoh penulisan cover letter yang telah kami sediakan.
  • Elakkan penggunaan ayat-ayat tertentu – contohnya; elakkan penggunaan kepada pihak yang berkenaan pada cover letter anda. Buat sedikit kajian dan dapatkan nama pihak tersebut. Kebiasaannya di dalam cover letter, ia ditujukan kepada Pengurus Bahagian Sumber Manusia. Anda boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui carian internet. Jika tidak ada, anda boleh menghubungi syarikat berkenaan dan minta maklumat tersebut.

Seterusnya lihat pula format untuk menulis cover letter yang baik. Penulisan cover letter boleh dibahagikan kepada enam bahagian utama:

Bahagian 1 – Maklumat diri anda yang diperlukan seperti nama penuh anda, alamat surat menyurat dan juga no telefon anda yang boleh dihubungi.

Bahagian 2 – Maklumat syarikat tempat anda memohon pekerjaan seperti nama pengurus bahagian sumber manusia, jawatan dan alamat syarikat.

Bahagian 3 – Bahagian permulaan surat. Anda boleh nyatakan jawatan yang anda mohon, kenapa anda berminat dengan jawatan tersebut dan mengapa anda calon yang sesuai untuk jawatan tersebut.

 Bahagian 4 – Bahagian pertengahan surat. Anda boleh nyatakan pengalaman dan kemahiran yang bersesuaian dengan jawatan yang dipohon secara ringkas. Tidak perlu nyatakan semua pengalaman dan kemahiran kerana semua itu sudah ada di dalam resume. Jangan ulang semua yang telah ada di dalam resume.

Jika anda adalah graduan universiti yang baharu dan tiada pengalaman kerja, anda boleh masukkan pengalaman ketika mengikuti latihan industri. Tetapi sila pastikan pengalaman tersebut berkaitan dengan jawatan yang dipinta.

Bahagian 5 – Bahagian akhir surat. Di dalam bahagian ini anda perlu menegaskan sebab apa anda seuai dan layak untuk menjawat jawatan tersebut. Anda juga boleh menyatakan apakah kelebihan dan sumbangan yang dapat anda berikan kepada syarikat jika anda diambil bekerja. Anda juga boleh tamatkan bahagian ini dengan menyatakan kesudian anda untuk ditemuduga dan dihubungi melalui telefon ataupun emel.

Bahagian 6 – Tandatangan. Seperti mana surat rasmi, anda perlu akhiri cover letter anda dengan tandatangan anda.

Setelah menyiapkan cover letter anda, pastikan anda mengambil masa untuk menyemak cover letter anda.

  • Pastikan anda sudah menyemak ejaan, format dan struktur tatabahasa cover letter anda sebelum anda menghantarnya. Jika anda tidak berkemahiran untuk menyemak sendiri, bolehlah minta bantuan keluarga dan rakan anda yang lebih mahir.
  • Pastilkan ejaan nama, jawatan dan syarikat tempat anda memohon kerja adalah betul.
  • Pastikan anda menggunakan alamat emel yang formal.
  • Jika cover letter anda dalam Bahasa Inggeris, pastikan anda tidak menggunakan ‘hi’ sebagai ayat sapaan, tetapi menggunakan istilah ‘Dear’.

Setelah berpuas hati dengan cover letter anda, anda bolehlah menghantar cover letter anda bersama-sama resume kepada syarikat yang menawarkan pekerjaan. Pastikan anda juga telah memilih jawatan yang sesuai dengan kelayakan dan pengalaman anda.

Akhir kata, selamat berjaya kami ucapkan!