Maklumat jawatan kosong terus ke fon anda subscribe melalui link di bawah :



Showing posts with label cover letter. Show all posts
Showing posts with label cover letter. Show all posts

12 May 2020

Memohon Kerja Melalui Email. Ini Yang Perlu Anda Tahu

Salah satu cara yang paling digunakan untuk memohon pekerjaan hari ini, adalah dengan mengirim surat permohonan jawatan (Resume) melalui e-mel. Ini terutama selalu berlaku pada majikan yang tidak memiliki sistem permohonan kerja online. Disini Kami kongsikan sedikit tips untuk anda memohon kerja melalui email

Memohon Kerja Melalui Email. Ini Yang Perlu Anda Tahu

Untuk memohon pekerjaan melalui emel, anda perlu tahu tentang beberapa perkara penting, antaranya ialah:

  • Pastikan anda menggunakan alamat emel yang yang formal – Perkara ini mungkin nampak remeh dan biasa. Namun kebiasaanya banyak permohonan kerja yang tidak dilayan kerana alamat emel yang digunakan sewaktu memohon kerja tidak sesuai. Sebaiknya gunakan nama anda sebagai alamat emel tersebut.

    Majikan pastinya menerima ratusan emel setiap hari. Pastinya mereka mahukan seseorang yang serius dan tidak membuang masa mereka. Jadi elakkan penggunaan emel yang kurang sesuai seperti siticomelgiler@gmail.com dan sebagainya.
  • Perlulah ada kesungguhan – Jangan anda cc semua emel permohonan kerja anda kepada semua syarikat yang hendak anda minta. Sebaik-baiknya kajilah satu persatu syarikat tempat anda ingin memohon pekerjaan. Hantarkan emel khas bagi setiap jawatan dan syarikat tempat anda memohon pekerjaan.
  • Tulis tajuk emel anda dengan tepat dan ringkas – Bantu emel anda untuk dapatkan perhatian pegawai sumber manusia. Tulis tajuk emel anda dengan tujuan dan jawatan yang anda pohon.

    Sebagai contoh;Tajuk emel: Permohonan jawatan juruteknik mekanikal di syarikat ABC Berhad.
  • Gunakan struktur bahasa dan tatabahasa yang betul – Walaupun melalui emel, anda perlu tahu permohonan kerja ini adalah secara formal. Jadi anda perlu menulis emel dengan menggunakan struktur ayat dan tatabahasa yang betul. Elakkan penggunaan singkatan perkataan dan juga campur aduk di antara bahasa. Jika emel permohonan kerja tersebut ditulis di dalam Bahasa Melayu, teruskan semuanya di dalam Bahasa Melayu. Begitu juga sebaliknya dengan bahasa yang lain.
  • Pastikan lampiran dokumen dan fail adalah betul dan boleh dibaca – Ini adalah satu perkara yang sangat penting. Jika anda gagal memastikan fail dan dokumen yang dilampirkan adalah tepat dan boleh dibaca, peluang anda untuk diterima bekerja mungkin akan tertutup terus.

Pihak majikan pasti mahukan pekerja yang teliti. Jika fail tersalah nama, tertukar nama syarikat yang ingin dipohon dengan syarikat lain dan sebagainya pasti persepsi pihak syarikat terhadap anda akan menjadi kurang baik. Malah berkemungkinan mereka akan merasakan calon seperti itu melakukan kerja sambal lewa dan tidak serius dengan kerja.

Betul, manusia tidak boleh lari dari kesilapan, namun anda perlulah beri persepsi yang bagus kepada bakal majikan anda. Jadi pastikan anda semak dengan sebaik mungkin ya.

Pastikan anda menghantar emel permohonan kerja ini bersama-sama dengan surat permohonan kerja (cover letter) dan resume anda yang terkini. Emel permohonan kerja anda pula bolehlah ditulis dalam format yang berikut:

Bahagian 1 – Tajuk emel

Bahagian 2 – Kandungan emel

- Pengenalan diri anda secara ringkas dan tujuan anda menghantar emel ini.
- Pengalaman kerja atau latihan industri yang berkaitan dengan jawatan yang dipohon
- Kelayakan dan kelebihan diri anda (secara ringkas) untuk jawatan yang dipohon

Bahagian 3 – Penutup dan maklumat untuk dihubungi seperti no telefon.

Bahagian 4 – Lampiran. Pastikan saiz lampiran tidak terlalu besar. Anda boleh gunakan beberapa perisian percuma yang terdapat di laman web untuk mengecilkan saiz fail lampiran anda.

Setelah selesai, pastikan anda menyemak kembali struktur ayat, ejaan, jawatan yang dipohon, syarikat tempat kerja yang anda mohon dan juga lampiran yang disertakan di dalam emel. Pastikan semua maklumat yang diberikan adalah betul sebelum anda mula menghantar emel permohonan kerja anda.

Kebiasaannya jika setelah dua minggu anda menghantar emel permohonan kerja dan masih tidak dihubungi oleh pihak syarikat, anda mungkin tidak dicalonkan untuk menduduki temuduga bagi jawatan tersebut. Walau bagaimanapun, anda boleh semak dengan pihak syarikat tersebut dengan menghantar emel ringkas untuk bertanyakan status permohonan anda.

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Sebagai pencari kerja, anda perlu terus berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Tuhan yang Esa. Berkat usaha anda yang berterusan, anda pasti akan beroleh kerjaya yang diidamkan.
Read More »

10 May 2020

Perkara Penting Dalam Surat Permohonan Kerja (Cover Letter)

Surat permohonan kerja (cover letter) adalah satu surat berformat rasmi bagi tujuan memohon kerja. Walaupun ketika ini ramai pemohon kerja yang tidak menggunakan cover letter sewaktu memohon kerja, cover letter ini masih sangat relevan.

Penggunaan cover letter yang dihantar bersama resume menunjukkan kesungguhan pemohon dalam permohonan kerja mereka. Secara tak langsung ianya akan membantu anda resume anda dipilih daripada ratusan pemohon yang lain.

Sebelum anda mula menulis cover letter anda, ada beberapa penting yang perlu anda ambil tahu terlebih dahulu:

  • Kenalpasti maklumat diri yang diperlukan – Hanya masukkan maklumat diri yang penting dan diperlukan sahaja. Tidak seperti resume, anda perlu menjelaskan sebab anda memohon kerja di syarikat tersebut di dalam cover letter.
  • Penulisan cover letter perlu mengikuti format yang tepat – Penulisan cover letter perlu mengikuti format surat rasmi. Untuk lebih jelas, anda boleh rujuk pada contoh penulisan cover letter yang telah kami sediakan.
  • Elakkan penggunaan ayat-ayat tertentu – contohnya; elakkan penggunaan kepada pihak yang berkenaan pada cover letter anda. Buat sedikit kajian dan dapatkan nama pihak tersebut. Kebiasaannya di dalam cover letter, ia ditujukan kepada Pengurus Bahagian Sumber Manusia. Anda boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui carian internet. Jika tidak ada, anda boleh menghubungi syarikat berkenaan dan minta maklumat tersebut.

Seterusnya lihat pula format untuk menulis cover letter yang baik. Penulisan cover letter boleh dibahagikan kepada enam bahagian utama:

Bahagian 1 – Maklumat diri anda yang diperlukan seperti nama penuh anda, alamat surat menyurat dan juga no telefon anda yang boleh dihubungi.

Bahagian 2 – Maklumat syarikat tempat anda memohon pekerjaan seperti nama pengurus bahagian sumber manusia, jawatan dan alamat syarikat.

Bahagian 3 – Bahagian permulaan surat. Anda boleh nyatakan jawatan yang anda mohon, kenapa anda berminat dengan jawatan tersebut dan mengapa anda calon yang sesuai untuk jawatan tersebut.

 Bahagian 4 – Bahagian pertengahan surat. Anda boleh nyatakan pengalaman dan kemahiran yang bersesuaian dengan jawatan yang dipohon secara ringkas. Tidak perlu nyatakan semua pengalaman dan kemahiran kerana semua itu sudah ada di dalam resume. Jangan ulang semua yang telah ada di dalam resume.

Jika anda adalah graduan universiti yang baharu dan tiada pengalaman kerja, anda boleh masukkan pengalaman ketika mengikuti latihan industri. Tetapi sila pastikan pengalaman tersebut berkaitan dengan jawatan yang dipinta.

Bahagian 5 – Bahagian akhir surat. Di dalam bahagian ini anda perlu menegaskan sebab apa anda seuai dan layak untuk menjawat jawatan tersebut. Anda juga boleh menyatakan apakah kelebihan dan sumbangan yang dapat anda berikan kepada syarikat jika anda diambil bekerja. Anda juga boleh tamatkan bahagian ini dengan menyatakan kesudian anda untuk ditemuduga dan dihubungi melalui telefon ataupun emel.

Bahagian 6 – Tandatangan. Seperti mana surat rasmi, anda perlu akhiri cover letter anda dengan tandatangan anda.

Setelah menyiapkan cover letter anda, pastikan anda mengambil masa untuk menyemak cover letter anda.

  • Pastikan anda sudah menyemak ejaan, format dan struktur tatabahasa cover letter anda sebelum anda menghantarnya. Jika anda tidak berkemahiran untuk menyemak sendiri, bolehlah minta bantuan keluarga dan rakan anda yang lebih mahir.
  • Pastilkan ejaan nama, jawatan dan syarikat tempat anda memohon kerja adalah betul.
  • Pastikan anda menggunakan alamat emel yang formal.
  • Jika cover letter anda dalam Bahasa Inggeris, pastikan anda tidak menggunakan ‘hi’ sebagai ayat sapaan, tetapi menggunakan istilah ‘Dear’.

Setelah berpuas hati dengan cover letter anda, anda bolehlah menghantar cover letter anda bersama-sama resume kepada syarikat yang menawarkan pekerjaan. Pastikan anda juga telah memilih jawatan yang sesuai dengan kelayakan dan pengalaman anda agar menambah peluang dipanggil temuduga.

Akhir kata, selamat berjaya kami ucapkan!
Read More »